FAMILY LIFE_Umur 30 tapi masih belum ada rumah dan kereta sendiri?
Baru-baru ni aku ada terbaca satu tweet yang agak viral berkenaan simpati terhadap golongan muda berumur 30-an tapi masih belum ada life achivement terutamanya mempunyai rumah sendiri.
Jujurnya, aku tak ada banyak point nak sokong/bantah mengenai tweet yg viral tu. Tapi aku rasa terpanggil untuk tulis mengenai keluarga aku.
Pernah dengar quotes "everyone has their own time pace" ?
Dan ini bukan mengenai time pace aku. Tapi mengenai time pace abah.
Abah kerja kerajaan tapi bukan sebagai pegawai kelas A. Tak dilahirkan dalam keluarga yang ada harta pusaka turun temurun. Mula dengan susah, macam-macam kerja sebelum diterima 'masuk' kerajaan.
Suka aku tekankan, kisah ini bukan nak melabelkan keluarga aku sebagai 'susah' mahupun 'kaya'. Sekadar berkongsi kisah hidup sederhana kami.
20 tahun abah guna kereta Wira.
Itupun beli yg second hand. Alhamdulillah, kereta itulah yang ulang-alik ambik aku ke sekolah, matrikulasi sehinggalah ke universiti. Sebelum tu, 4 tahun juga kehulu kehilir dengan motor kami empat beranak. (Masa ni belum keluar lagi 3 ketul adik-adik aku haha)
Alhamdulillah, baru setahun ni kami baru merasa pakai kereta baru yang lebih besar dan selesa untuk kami 7 beranak. Aku pun sudah ada kereta sendiri. Dan Wira masih setia bersama kami sehingga sekarang.
Hampir 20 tahun jugalah abah 'bagi' kami anak beranak duduk rumah sewa.
Mujur abah kerja kerajaan, dapatlah rumah sewa yang murah sikit. (Kuarters) Tak pernah kami mengeluh sebab tinggal rumah sewa.
Rumah kami sekarang, Alhamdulillah lebih besar dan lega berbanding rumah sewa dulu. Tak sampai 10 tahun lagi duduk di rumah baru dan kami tetap rindukan rumah sewa dulu.
Oh, kereta baru & rumah baru ni pun abah buat pinjaman bank. Dan rasanya, selama abah kerja kerajaan tak pernah abah 'hidup' tanpa loan.
Tak pernah merasa hidup terlebih mewah.
Tak semua apa yang aku nak, aku dapat. Ada masa tetap kena telan air liur pendam hajat. Sejak kecil, aku tahu kemampuan abah.
Tapi selama aku hidup 24 tahun, tak pernah kami kais pagi makan pagi jauh sekali kais petang semata-mata untuk makan petang.
Ada masanya pergi melancong walaupun cuma dalam negara. Macam keluarga lain. Tak ada beza pun.
Cuma yang membezakan keluarga kita, mungkin abah TAK ADA kereta baru dan rumah sendiri sebelum umur dia 40 tahun.
Dan aku belajar.
Belajar yang BAHAGIA & SEMPURNA itu tak semestinya punyai kereta dan rumah sebelum umur 30 tahun. Keberkatan jauh lebih penting untuk mengecap erti kebahagiaan.
Tak apa, time pace keluarga kita lain-lain.
Banyak lagi keluarga lain yang jauh lebih susah berbanding kami 7 beranak. Adik-adik aku sekarang mungkin dah tak rasa 'berkira' macam aku dulu.
Dengan izin Allah, hidup kami semakin bertambah bahagia dan selesa seadanya.
Dan bagi aku sejak dulu, abah tetap sempurna di mata kami di saat dia gigih menyediakan kehidupan yang sempurna buat kami sekeluarga.
Terima kasih, abah.❤️
Comments
Post a Comment