JODOH LIFE_Siapa 'dia' yang Engkau Takdirkan untukku.
Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan namaMu ya Allah, yang menjadikan setiap daripada kami ada pasangannya di dunia mahupun di akhirat.
Engkaulah ya Jami'.
Engkau yang berkuasa menemukan Siti Hawa kepada nabi Adam juga Siti Khadijah kepada Nabi Muhammad. Tidak lupa juga umi kepada abah.
Pertemukanlah aku dengan seseorang yang akan menjadi pelengkap bagi separuh agamaku ini. Kurniakanlah kepada ibuku seorang menantu lelaki yang soleh, yang baik agama dan akhlaknya serta baik keluarga dan sahabatnya - yang akan meminangku dan mengahwiniku serta menjadikan aku sebagai sahabatnya di dunia dan akhirat nanti.
Engkau telah jadikan aku sebagai seorang wanita yang penuh dengan rasa malu untuk memulakan suatu hubungan.
Engkau telah jadikan aku terlihat sebagai seorang yang penuh ego dalam suatu hubungan.
Seberapa banyak tertampak kelemahanku di mata seseorang, aku yakin ada hikmah di sebalik kekurangan dan penantian ini.
Engkau juga ya Hafiz telah menjaga hatiku dari cuba mencintai mana-mana ajnabi sebelum dia benar-benar halal untukku.
Teruslah jaga hatiku Ya Allah. Maafkan aku jikalau hati ini pernah menangis kerana seseorang yang belum halal untukku. Aku lemah dalam mentadbir hatiku ini.
Janganlah Engkau biarkan aku lemas dalam penantian cerita yang tiada jalan akhirnya. Tunjukkan aku jalan yang benar. Rezekikan aku mendapat petunjukMu dengan jelas walaupun aku tahu aku tidak layak kerana hati ini penuh dengan noda.
Namun Engkau Tuhan yang penuh dengan sifat belas kasihan. Belaslah terhadap hambaMu ini. Belaslah melihat aku yang sakit menantikan jawapan dariMu ini.
Jika benar dia yang Engkau takdirkan untukku, maka permudahkanlah urusan kami. Namun jika dia cuma ujian bagiku untuk kedua kalinya, aku redha dan ikhlas ya Allah. Aku mohon, kuatkanlah hatiku untuk menempuhi ujian ini sekali lagi.
Aku benar-benar lemah jika diuji dengan ujian hati. Seharusnya aku lebih kuat setelah diuji berkali-kali seperti ini. Kuatkanlah aku ya Allah.
Jika ada usahaku dalam memperbaiki diri serta menjaga hati dari melakukan maksiat kepadaMu yang Engkau redha dengannya, maka balaslah aku ya Allah. Balaslah dengan berikan aku kekuatan dan kesabaran untuk menghadapi semua ini. Permudahkanlah urusan jodohku ini.
Sebolehnya aku benar-benar inginkan pengakhiran cerita yang indah, namun Engkau lebih Tahu apa yang terbaik untuk jalan hidupku.
Siapa pun namanya yang tertulis sebagai jodohku di Lauh MahfuzMu, jagalah dia untukku dan janganlah Engkau bolak-balikkan hatinya untukku.
Siapa pun dia yang Engkau takdirkan untukku, moga dia benar-benar lelaki pilihanMu untukku di dunia dan akhirat kelak.
Bantulah aku untuk yakin dengan rencanaMu. Sungguh, akulah hambaMu yang hina dan Engkaulah Tuhanku yang Maha Esa.
Comments
Post a Comment